IPOH – Sepasang suami isteri akhirnya mengaku bersalah atas 28 pertuduhan pilihan mempergunakan 19 remaja dan kanak-kanak untuk mengemis dengan menjual kalendar dan ubat herba.
Mahkamah Sesyen Ipoh memutuskan untuk menjatuhi hukuman penjara 15 bulan serta denda RM28,000 kepada kedua-dua pasangan terbabit.
Malah, kedua-dua pesalah iaitu Muslim Ab Karim, 67 tahun dan isterinya, Zaleha Mohamad, 55 tahun telah diarahkan untuk menjalani program khidmat masyarakat bagi tempoh 100 jam di lokasi berhampiran kediaman mereka.
Aktiviti tersebut yang akan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diikuti kedua-dua tertuduh sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Hakim Murtazadi Amran melaksanakan perintah hukuman penjara yang berkuat kuasa dari tarikh pasangan ini ditangkap iaitu pada 7 Mei 2017.
Keputusan itu dibuat selepas hakim meneliti dan berpuas hati dengan semua keterangan kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pihak pembelaan.
Pasangan ini telah dituduh melakukan perbuatan jenayah ini secara bersama di beberapa bandar berbeza antara jam 8.30 malam hingga 1.45 pagi, pada 7 November 2016 hingga 14 Mac 2017.
Antara lokasi yang terlibat adalah kawasan CIMB Bank cawangan Taiping, Jalan Panggung Wayang, Maybank Jalan Medan Saujana 1, Medan Saujana Kamunting di Taping dan Persiaran Greentown Business 6 di Ipoh.
Selain itu, kegiatan yang sama turut dijalankan di Pahang iaitu Kemaman Kopitiam, Lorong Tun Ismail 1 (Kuantan) dan CIMB Bank Bandar Raub Perdana (Raub) dan Bank Islam Jalan Mahmood (Kota Bharu).
Jenayah ini dilakukan dengan melibatkan 19 kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur 11 hingga 17 tahun untuk meminta sedekah dengan menawarkan jualan ubat herba gel serta kalendar.
Pasangan suami isteri ini dihadapkan pertuduhan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali selain diarahkan untuk menjalani program khidmat masyarakat jika sabit kesalahan.
Di samping itu, tertuduh turut dituduh mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda akan dikenakan.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh bebas daripada pertuduhan terbabit setelah pihak pendakwaan bersetuju untuk memindanya dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Selepas menjatuhkan hukuman tersebut, Hakim Murtazadi sempat memberikan nasihat dan pandangannya berkenaan isu jenayah terhadap kanak-kanak.
“Undang-undang perlu dipatuhi dan masyarakat memerhati apa yang kita lakukan. Kanak-kanak banyak digunakan untuk kepentingan diri golongan tertentu dan ia patut dielakkan”.
Sumber: BH Online, Utusan Online
